Terengganu Advanced Technical Institute (TATI) merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Negeri Terengganu. TATI ditubuhkan pada tanggal 11 Jun 1993 dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad pada 11 Oktober 1997. TATI merupakan sebuah institusi pendidikan yang berasaskan Kemahiran Tinggi.
Pada peringkat awal penubuhannya, satu perjanjian kerjasama telah dimeterai antara TATI dan Ingineurschule of St. Gallen, Switzerland bagi menawarkan 4 kursus di peringkat Diploma di dalam bidang pengajian Tool and Die Making, Tool and Die Design, Mechatronics dan Information Technology. Di samping itu, TATI juga telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia(UTM) pada tahun 1996 bagi menawarkan program-program di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Mekanikal, dan Kejuruteraan Elektrikal ( Elektronik).